Hannah Yeoh perlu akur keputusan mahkamah, henti kecam Bersatu
SAFINA RAMLI / pix/imran
GEORGE TOWN: Armada Bersatu Malaysia (Armada) mengingatkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh agar menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati kenyataan berhubung agenda mengkristiankan Malaysia bukanlah satu fitnah, sebaliknya berasaskan fakta yang dipetik daripada buku autobiografinya, Becoming Hannah.
Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, tindakan Hannah dan bekas pegawai beliau, Khairil Khalid, yang mengecam Bersatu serta Ketua Srikandinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.
“Keputusan Mahkamah Tinggi telah membuktikan bahawa kenyataan tersebut bukanlah fitnah dan buku Becoming Hannah jelas menyebut mengenai agenda ‘mengkristiankan Malaysia’ yang kini menjadi persoalan besar memandangkan beliau adalah anggota Jemaah Menteri,” katanya di sini, hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah yang difailkan Hannah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung ucapannya dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) empat tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi membuat keputusan berkenaan selepas mendapati plaintif gagal membuktikan kenyataan dibuat oleh defendan (Musa) adalah fitnah.
Dalam pada itu, Harris berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan agama, bangsa, dan tanah air, Bersatu tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu berkaitan agama.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen dan anggota Jemaah Menteri, Hannah telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia, yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Oleh itu, tindakan Hannah harus disiasat secara mendalam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.
Sehubungan itu juga katanya, Armada Bersatu menyeru pihak pendakwa raya untuk bertindak tegas dan mendakwa mana-mana pihak, termasuk anggota kerajaan sendiri sekiranya terdapat bukti kukuh berkaitan isu ini.
“Kami juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah segera dengan memberhentikan khidmat Hannah sebagai menteri sehingga siasatan selesai dan kes ini dibicarakan.
“Isu ini bukan sekadar persoalan politik tetapi menyentuh asas utama yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.
caption:
HARRIS IDAHAM RASHID