Hannah Yeoh gagal saman Musa Hassan

Hannah Yeoh gagal saman Musa Hassan

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut yang juga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh gagal dalam saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi dalam penghakiman ringkasnya menyatakan Hannah atau nama penuhnya, Yeoh Tseow Suan gagal membuktikan bahawa kenyataan yang dibuat Musa dalam satu forum empat tahun lalu memfitnahnya.

“Walaupun forum awam mestilah (dijalankan) dengan seimbang demi menjaga reputasi, saya dapati dalam kes ini, plaintif gagal membuktikan bahawa kenyataan (dibuat Musa) adalah memfitnah, forum tersebut merupakan satu keistimewaan (privilage).

“Tiada niat jahat dibuktikan dan defendan (Musa) mempunyai alasan munasabah dalam mengeluarkan kenyataannya berdasarkan pengakuan dan penulisannya (Hannah) dan penerbitan semula bukanlah dalam kawalannya.

“Hak mengikut perlembagaan bagi kebebasan bersuara mesti dilindungi dengan teguh, terutamanya mengenai perkara yang berkepentingan awam dan kenyataan yang dibuat keadaan istimewa.

“Walaupun memberikan ucapan dengan penuh tanggungjawab adalah penting, namun tokoh awam mesti menjangkakan dan bertolak ansur dengan kritikan serta perdebatan yang kuat berhubung kenyataan dan tindakan mereka,” ujar hakim itu dalam penghakimannya yang disampaikan melalui e-review.

Mahkamah turut mengarahkan Hannah membayar kos sebanyak RM40,000.

Peguam, Lim Wei Jiet yang mewakili Hannah ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu.

Beliau turut memaklumkan pihaknya telah mendapat arahan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan dan akan berbuat demikian secepat mungkin.

Pada 3 Julai 2020, Hannah memfailkan saman dengan mendakwa Musa telah memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”.

Hannah mendakwa, kenyataan dalam ucapan itu adalah tidak benar, menyusahkan, palsu, salah dan tidak berasas, selain dirancang terlebih dahulu, dibuat dengan niat jahat, mencemarkan nama baik, memfitnah serta memusnahkan reputasinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya