KOTA BHARU: Walaupun sudah biasa berdepan situasi ombak besar dan angin kuat yang berlaku setiap tahun, penduduk khususnya berhampiran pesisir Pantai Sabak, di sini tetap berwaspada kerana jarak rumah dengan pantai semakin dekat akibat hakisan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat kesan hakisan di tepi benteng kawasan kampung berkenaan sehingga membolehkan ombak melepasinya dengan ketinggian kira-kira 2.1 meter.
Seorang penduduk, Adnan Abdul Ghani, 44, berkata, kejadian ombak besar kerap berlaku sehingga menyebabkan air laut yang bertembung dengan air sungai melimpah ke jalan di kawasan sekitar.
Katanya, keadaan itu berlaku pada lewat petang atau malam dan seperti kebiasaan surut keesokkannya.
“Penduduk kampung di sini sudah lali, tetapi masih berwaspada kerana jarak antara pantai kini hanya sekitar 100 meter.
“Saya tidak membuat apa-apa persiapan, cuma sekadar mengalihkan barang elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh ke tempat yang tinggi sedikit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Adnan berkata, hakisan yang kuat berlaku sejak tahun lalu turut menyebabkan sebahagian laluan di tepi jalan kampung digantikan dengan simen konkrit berikutan jalan berturap sebelum ini rosak teruk.
Seorang peniaga kedai makan, Aniza Husin, 53, pula berkata, kejadian ombak besar dan air pasang turut memasuki bahagian dapur rumah keluarganya dengan paras air 0.3 meter.
Katanya, kejadian itu pernah berlarutan hampir seminggu dan terpaksa berhati-hati dengan haiwan berbisa seperti ular.
“Namun, setakat ini tiada kejadian yang tidak diingini berlaku di rumah kami. Bila musim tengkujuh, haiwan berbisa itu lazimnya berada di celah batu pemecah ombak dan bimbang memasuki rumah penduduk kampung di sini,” ujarnya.- UTUSAN