Hakisan pantai meruncing, penduduk ketakutan

Hakisan pantai meruncing, penduduk ketakutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Masalah hakisan pantai yang semakin buruk di Terengganu menyebabkan penduduk sekitar Batu Rakit di sini, hidup dalam ketakutan kerana bimbang keselamatan mereka.

Penduduk mendakwa, hakisan yang berlaku pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini adalah yang paling teruk dalam tempoh 10 tahun kerana banyak berlaku runtuhan sejak akhir-akhir ini.

Seorang peniaga makanan tradisional, Nurul Hidayah Arif, 42, berkata, dia kerugian hampir RM10,000 apabila sebahagian struktur kedainya runtuh Sabtu lalu.

“Sehari sebelum itu, hujan sangat lebat beserta angin kencang menyebabkan saya tidak sedap hati kerana risaukan keadaan kedai yang semakin kritikal disebabkan hakisan.

“Esoknya apabila pergi ke kedai, saya terkejut lihat bangsal tempat memproses ikan, menjemur ikan kering dan belacan runtuh.

“Walaupun pihak berkuasa ada membina benteng penghadang ombak, ia tidak mampu menahan badai yang datang setiap kali tengkujuh tiba dan saya tidak tahu sampai bila masalah ini berterusan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Pantai Tanjung Batu Rakit, di sini semalam.

Seorang lagi penduduk Pengkalan Maras, Ahmad Muzammil Othman, 38,berkata, dia risau kerana saban tahun lebih banyak kawasan pesisir pantai itu ditelan ombak.

“Paling mengerikan kejadian yang berlaku pada 23 November lalu apabila lima jenazah terkeluar disebabkan hakisan berlaku di tanah perkuburan kampung ini.

“Sebenarnya, sudah ramai penduduk berpindah ke tempat lain yang lebih selamat setiap kali musim tengkujuh tiba sama ada menumpang di rumah anak atau saudara mara,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Anuar Ngah berkata, pantai Batu Rakit adalah antara yang tercantik di Terengganu satu ketika dahulu kerana sering menerima kunjungan pelancong.

“Malangnya hakisan yang berlaku menyebabkan pelancong tidak lagi berani datang ke sini untuk berkhemah, mujurlah masih banyak kedai celup tepung menjadikan Pantai Batu Rakit masih menjadi sebutan ramai,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya