PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pas berpandangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seharusnya diberikan kebebasan penuh, bukan sekadar menjalani baki hukumannya di rumah.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau kekal dan semakin teguh dengan pendirian dia bahawa Najib menghadapi perbicaraan ‘senget’.
Ini kerana, kata beliau, bekas Presiden UMNO itu tidak diberikan haknya untuk membela diri dengan sempurna.
“Saya tidak cadangkan beliau diberi tahanan rumah (kerana) hak beliau adalah bebas sepenuhnya.
“Bukan kerana beliau terbukti tidak bersalah, tetapi gagal diberi ruang pembelaan yang sewajarnya. Justeru bagaimana pembuktian beraksi sempurna? Pandangan saya, sebagaimana politik negara masih berlakon matang, mahkamah juga penuh lakonan,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Pada persidangan Dewan Rakyat yang lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau mengemukakan isu Titah Adendum Najib untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.
Perdana Menteri menjelaskan, Lembaga Pengampunan akan mengambil kira beberapa perkara termasuk perjalanan kes, hukuman, sikap di penjara, khidmat dan jasa serta kepercayaan boleh menyempurnakan tanggungjawab dengan baik sebelum membuat keputusan pada masa yang difikirkan sesuai.
“Cuma kerana perkara ini terus dibangkitkan, saya ada kemukakan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong sekarang (Sultan Ibrahim). Untuk pada masa yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong, merujuk kepada Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang.
“Semalam kebetulan di Johor Bahru perkara ini dibincang sepintas lalu, sekali lagi kerana Tuanku Agong nak tahu perkembangan yang terkini. Jadi kita serah kepada wewenang Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong. Pertama, membawa dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan menimbangkan sebaiknya.
“Sebagai seorang yang memenuhi tanggungjawab, saya lakukan kerana bagi saya siapapun berhak untuk diberi pertimbangan sama ada menilai cara dan kaedah hukuman dijatuhkan atau pertimbangan ‘fountain of mercy’,” katanya pada 10 Disember lalu.-UTUSAN