Haim Hilman dakwa ucapan diambil luar konteks

Haim Hilman dakwa ucapan diambil luar konteks

Dr. Haim Hilman Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah mendakwa, kenyataannya berhubung kemasukan pelajar ke universiti awam diambil di luar konteks hingga menimbulkan kontroversi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu, apa yang dilakukannya hanyalah memperjuang nasib pelajar miskin yang tidak dapat mengikuti program kompetitif antaranya kejuruteraan, perakaunan dan perundangan disebabkan faktor tertentu. 

Katanya, beliau tidak menolak kemasukan pelajar dari keluarga berkemampuan untuk mengikuti pelajaran di universiti awam (UA) melalui saluran komersial namun perlu ada usaha daripada pihak berkaitan untuk melakukan penambahbaikan mengenainya. 

“Seperti dinyatakan Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) semalam, terdapat dua laluan untuk ke UA iaitu saluran perdana yang mengambil sebahagian besar pelajar B40 dan saluran komersial yang mengambil pelajar dalam kalangan keluarga T20 serta antarabangsa. 

“Perkara yang saya bangkitkan adalah melalui saluran perdana, ramai anak-anak keluarga miskin yang tidak dapat mengikuti program kompetitif walaupun Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) melepasi syarat minimum kerana terdapat ‘cut off’ CGPA ditetapkan. 

“Berbeza dengan saluran komersial, pelajar diterima masuk ke program kompetitif bukan kerana merit sebaliknya memadai dengan CGPA minimum asalkan mereka bayar penuh yuran pengajian. Inilah yang saya persoalkan iaitu sebahagian tempat belajar yang sepatutnya dipenuhkan berdasarkan merit telah diperuntukkan untuk pelajar saluran komersial,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebagai contoh katanya, terdapat universiti menetapkan ‘cut off’ CGPA 3.95 atau 4.00 untuk program kritikal termasuk perubatan menyebabkan pelajar miskin yang memperolehi CGPA antara 3.90 hingga 3.94, tidak mendapat tempat walaupun CGPA minimum untuk mengikuti program itu cuma 3.50 sahaja. 

“Pada asasnya pelajar ini gagal dalam permohonan kerana tempat ditawarkan dalam saluran perdana terhad tetapi pelajar saluran komersial dapat mengikuti program itu kerana mereka tidak bersaing atas faktor merit, sebaliknya memadai memenuhi syarat minimum di samping mampu membayar penuh yuran pengajian tanpa subsidi kerajaan.

“Di sinilah kekhilafan UA kerana sanggup membiarkan anak bangsa yang miskin dinafikan hak mengikuti program kritikal diminati semata-mata kerana ‘cut off’ ditetapkan walaupun mereka memiliki CGPA jauh lebih tinggi daripada pelajar yang masuk melalui saluran komersial,” katanya.  

Haim Hilman berkata, beliau tidak bermaksud mahu menentang saluran komersial sebaliknya menuntut supaya kerajaan mencari jalan ke arah melakukan penambahbaikan, agar para pelajar dari saluran itu turut mendapat manfaat setimpal dengan pembayaran mereka lakukan. 

“Saya bersetuju dibentuk saluran komersial jika UA membangunkan kampus khas untuk fakulti berkaitan. Dalam erti kata lain, segalanya diuruskan seperti sebuah universiti swasta dan di sinilah anak-anak syarikat universiti berkenaan sepatutnya memainkan peranan. 

“Ketika ini pelajar dari kedua-dua saluran menggunakan kemudahan sama serta diajar oleh pensyarah sama. Di sini terdapat dua diskriminasi berlaku iaitu pelajar dengan merit lebih baik tetapi tidak mampu bayar yuran penuh telah dinafikan hak untuk mengikuti program kritikal diminati dan keduanya, pelajar yang masuk ke universiti melalui saluran komersial tidak mendapat apa-apa kelebihan walaupun bayar yuran lebih mahal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya