PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengehadkan kenaikan kadar premium insuran tidak melebihi 10 peratus.
Ahli Parlimen PKR dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, ia bagi memastikan kos tersebut mampu milik kepada semua termasuk untuk golongan berpendapatan sederhana (M40).
Selain itu katanya, kenaikan premium yang terlalu tinggi disifatkan sebagai tidak munasabah dan membebankan selain memberi kesan kepada sistem kesihatan awam.
“Insurans kesihatan tidak sepatutnya menjadi perkhidmatan eksklusif untuk golongan maha kaya sahaja.
“Jika lebih ramai beralih kepada hospital kerajaan, ia akan membebankan sistem kesihatan awam negara,” katanya.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Jimmy Pua (Tebrau), Yuneswaran Ramaraj (Segamat), Chew Choon Mun (Miri), dan Senator Amir Ghazali.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan kadar premium insurans dijangka meningkat sebanyak 40 sehingga 70 peratus tahun depan.
Dalam pada itu, semua Ahli Parlimen itu juga berkata, kadar kenaikan yang dijangkan dilaksanakan itu tidak selari dengan kadar inflasi kesihatan di Malaysia, iaitu 15 peratus.
Katanya, kadar tersebut lebih tinggi daripada purata 11.1 peratus di negara-negara Asia Pasifik. – UTUSAN