KUALA LUMPUR: Pelakon, Aprena Manrose tampil berkongsi momen dirinya menghadiri majlis ilmu dengan mengenakan jubah dan tudung labuh berwarna kelabu gelap.
Meskipun penampilannya kerap dikritik kerana sering dilihat tidak bertudung, Aprena menganggap kehadirannya di majlis ilmu adalah terapi buat dirinya.
“Menghadiri majlis ilmu adalah salah satu terapi diri. Cubalah,” katanya menerusi sebuah hantaran video di TikTok.
Dalam perkongsian sama, Aprena turut berkongsi majlis ilmu yang dikendalikan oleh pelakon Betty Rahmad itu turut dihadiri rakan selebriti yang lain seperti, Nelydia Senrose, Uqasha Senrose, Nadiyah Shahab, Nora Danish, Kaka Azraff, Syatilla Melvin dan ramai lagi.
Pelakon drama Tiada Arah Jodoh Kita itu turut berkongsi topik yang dibincangkan pada majlis ilmu itu berkaitan wanita dalam Al-Quran.
Kagum dengan perkongsian tersebut, rata-rata warganet mendoakan agar Aprena terus istiqamah dalam menjaga auratnya.
“Betullah, istiqamah itu susah. Hanya diri kita yang kena kuat. Moga Allah selalu bantu pegang hati dan iman kita untuk buat perintahNya. Amin,” komen seorang netizen.
“Alhamdulillah, terus istiqamah Aprena. Memang tidak mudah, tapi Allah tengok semua usaha kita dan beri sebaik-baik ganjaran pahala,” komen peminatnya.
“Untuk berubah, kita kena ada dalam golongan orang yang lebih baik daripada kita,” nasihat seorang peminatnya. -UTUSAN