KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu tidak mempunyai maklumat mengenai tindakan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, pihaknya tidak terlibat dalam keputusan Menteri Besar Terengganu itu.
“Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat (peletakan jawatan Bendahari Agung PN), (Ahmad Samsuri) tak perlu merujuk kepada Pas negeri dalam membuat keputusan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas keputusan Ahmad Samsuri meletak jawatannya sebagai Bendahari Agung PN, baru- baru ini.
Pada Rabu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan Ahmad Samsuri mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN namun enggan mengulas lanjut perkara itu.
Sementara itu, petugas media yang cuba mendapatkan komen Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai isu tersebut di rumahnya di Rusila, Marang dekat sini gagal apabila beliau enggan ditemu ramah.
Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 9 Disember lalu mengesahkan pelantikan enam jawatan penting yang kesemuanya kekal menjadi milik Bersatu.
Ia melibatkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN manakala jawatan Ketua Penerangan pula diisi Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita.
Bersatu juga menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN manakala Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai anggota Majlis Tertinggi PN selaras dengan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini. – UTUSAN