Guru tidak mengaku amang seksual murid 12 tahun - Utusan Malaysia

Guru tidak mengaku amang seksual murid 12 tahun

TEH Chau Teik mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan amang seksual fizikal murid perempuan berusia 12 tahun di Mahkamah Seksyen Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang guru penolong kanan kokurikulum sebuah sekolah di Bandar Baru Sri Klebang dekat sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi dua pertuduhan amang seksual fizikal ke atas anak murid perempuan berusia 12 tahun, September lalu.

Tertuduh, Teh Chau Teik berusia 37 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dan mencium mulut mangsa di dalam dua bilik darjah berasingan di sebuah sekolah di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor pada pukul 6.40 pagi, 11 dan 26 September 2024.

Pertuduhan terhadap tertuduh yang masih bujang itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh diwakili peguam bela, S. Teeban Kummar.

Terdahulu, Qurratu’aini mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan ke atas tertuduh serta syarat tambahan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Teeban Kummar bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dikenakan jaminan pada kadar minimum atas alasan perlu menanggung ibu berusia 61 tahun dan tiga adik dengan pendapatan bulanan sebanyak RM7,000.

Menurut beliau, anak guamnya yang kini berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara juga menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Jean Sharmila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polia setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh 17 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Media pada 14 Oktober lalu melaporkan seorang guru lelaki ditahan susulan laporan polis dibuat ibu mangsa berhubung tindakan lelaki itu yang didakwa telah memeluk dan mencium anak perempuannya di bahagian mulut selain menerima gambar tidak senonoh daripada suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya