IPOH: Seorang guru penolong kanan kokurikulum sebuah sekolah di Bandar Baru Sri Klebang dekat sini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan amang seksual fizikal ke atas anak murid perempuan berusia 12 tahun, September lalu.
Tertuduh, Teh Chau Teik berusia 37 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam dan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua di Mahkamah Sesyen, tertuduh, Teh Chau Teik, 37, didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dan mencium mulut mangsa di dalam dua bilik darjah berasingan di sebuah sekolah di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor pada pukul 6.40 pagi, 11 dan 26 September 2024.
Pertuduhan terhadap tertuduh yang masih bujang itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.
Mahkamah menetapkan tarikh 17 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.- UTUSAN