KUALA LUMPUR: Seorang guru tadika didenda RM1,400 dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memukul seorang kanak-kanak lelaki dengan menggunakan kadbod, minggu lalu.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membuat keputusan itu setelah tertuduh, Sathiyavanee Nadason, 55, mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara selama dua bulan.
Mengikut pertuduhan, Sathiyavanee didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak berusia empat tahun dengan cara memukul menggunakan tangannya menggunakan kadbod yang telah digulung.
Kesalahan itu dilakukan di antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, pada 18 Disember lalu, di sebuah pusat pembelajaran di Plaza Prima Setapak, Wangsa Maju di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan hukuman setimpal terhadap tertuduh agar kejadian seperti itu tidak berulang lagi.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman minimum dikenakan kerana telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Saya menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi. Mohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman paling rendah,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, sekitar pukul 12 tengahari, pada 20 Disember lalu, semasa berada di Jalan Perusahaan Ringan, pengadu yang juga ibu mangsa telah menerima panggilan daripada seorang guru tadika yang memaklumkan terdapat kesan luka berdarah pada tengkuk dan pipi kiri anaknya dan mendedahkan anaknya telah dipukul oleh seseorang bernama Cikgu Vani.
Bagaimanapun, dua hari sebelum kejadian itu dilaporkan, seorang guru di tadika tersebut memaklumkan kepada pengadu bahawa kecederaan pada anaknya kononnya berpunca kerana terkena alat permainan.
Menurut pengadu, anaknya kerap menangis ketika ingin hantar ke tadika dan sering meraung malam serta terjaga waktu tidur secara terkejut akibat trauma. – UTUSAN