Guru nampak Muhammad Zaharif digilis

Guru nampak Muhammad Zaharif digilis

MOHD. Nazri Abdul Razak dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini untuk perbicaraan kes bunuh pelajar yang dihadapinya. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang guru yang sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia melihat Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie digilis oleh sebuah Perodua Ativa pada 15 Disember lalu. 

Saksi pendakwaan ke-16, Azura Yusoff, 50, berkata, mangsa telah digilis antara perut dan dada oleh tayar bahagian hadapan dan belakang sebelah kanan kenderaan tersebut.

Bagaimanapun katanya, pemandu kereta itu tidak turun serta-merta dari kenderaan selepas kejadian sebaliknya mengambil masa beberapa saat untuk keluar menuju lokasi pelanggaran.

Jelasnya, kejadian itu berlaku ketika dia berada di dalam kereta jenis Toyota Wish yang diletakkan di hadapan pintu pagar utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di mana sebuah kereta Proton Saga berwarna merah turut diparkir di hadapan kenderaannya.

“Kedudukan kereta saya menghadap simpang tiga jalan. Walaupun terdapat kereta lain di hadapan, pemandangan tidak terhalang.

“Semasa saya berada di dalam kereta, saya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat sebuah kereta melanggar sebuah motosikal dan penunggang pula telah digilis pada bahagian antara perut dan dada. 

“Saya terkejut dan apabila nampak kereta itu berada di hadapan Proton Saga, saya ada membunyikan hon. 

“Saya lihat pemandu kereta tidak serta-merta keluar, selang beberapa saat kemudian baru dia keluar menuju ke tempat pelanggaran,” katanya yang merupakan guru di SMK Jelapang Jaya itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, M. Athimulan, Azura memberitahu mahkamah bahawa dia mendengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat pelajar tingkatan lima itu terhumban ke hadapan dan sebuah kereta dengan lajunya melanggar mangsa.

Bagaimanapun, Azura tidak pasti sama ada terdapat sebarang kesan pada pakaian mangsa kerana dia tidak turun dari Toyota Wish dan terus beredar sebaik sahaja anaknya keluar dari sekolah.

“Apa yang saya nampak kereta itu memang laju. Apabila pelajar itu terjatuh, tayar kenderaan menggilis badan pelajar tersebut,” katanya dalam perbicaraan kes Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi, 17.

Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet bersambung pada sesi petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya