KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng telah memfailkan permohonan agar satu notis kebankrapan dikeluarkan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia selepas Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin masih belum melunaskan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada Guan Eng.
Pada 8 November lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Guan Eng selepas didapati telah memfitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan.
Permohonan pengeluaran notis kebankrapan yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) itu antara lain menyatakan Muhyiddin mesti membayar RM1.35 juta seperti yang diperintahkan dalam tempoh tujuh hari selepas penyampaian notis itu.
“Bagaimanapun, jika kamu mempunyai tuntutan balas, atau tuntutan silang bersamaan atau melebih jumlah dituntut dan tidak dapat lakukan, kamu hendaklah dalam tempoh tujuh hari memohon untuk mengetepikan notis ini dengan memfailkan afidavit kepada Pendaftar,” kata permohonan itu.
Sementara itu, Muhyiddin turut memfailkan permohonan untuk menggantung sementara penghakiman itu sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata, oleh kerana jumlah penghakiman adalah besar, beliau memerlukan masa untuk mengumpul amaun berkenaan.
Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.
Laporan itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.
Guan Eng mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.-UTUSAN