PETALING JAYA : Pelayan khidmat pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan sanggup bersembunyi di bawah tangga, tandas, celah dinding pentas dan bilik simpanan minuman bagi mengelak ditahan pihak berkuasa malam tadi.
Tindakan itu diambil selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor membuat serbuan menerusi Ops Gegar di sebuah premis hiburan tiga tingkat di Puchong, Subang Jaya dekat sini.
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan bermula pukul 9 malam itu membabitkan 29 pegawai dan anggota diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor, Johari Supardi berdasarkan hasil risikan dan maklumat.
Beliau berkata, hasil serbuan, seramai 56 GRO warga Vietnam selain lapan pekerja warga Myanmar dan Bangladesh berusia 19 hingga 40 tahun, ditahan.
“Ketika serbuan ada GRO yang bersembunyi di bawah tangga, dalam tandas, dalam bilik simpanan minuman dan di celah-celah dinding pentas.
“Malah pelanggan warta tempatan turut melakukan provokasi ketika serbuan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, premis hiburan itu tiga tingkat di mana bahagian tingkat atas terpaksa dipecahkan oleh pegawai operasi kerana gagal memberi kerjasama.
“Pegawai operasi mengambil masa bagi memecahkan pintu kerana keadaan pintu premis yang berlapis.
“Seramai 66 orang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.-UTUSAN