SEREMBAN: Seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Tumpat, Kelantan hampir tidak dapat menghadiri majlis konvokesyennya pada hari ini selepas rumah keluarganya dinaiki air dalam kejadian banjir yang melanda negeri itu.
Siti Nabila Ellany Mazlan, 23, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu berkata, dia pada mulanya sudah putus harapan untuk hadir hari ini selepas banjir teruk itu menyebabkan jalan keluar dari kawasan tersebut tidak boleh dilalui.
“Lima hari sebelum hari konvokesyen, rumah saya dilanda banjir teruk. Ketika itu saya rasakan tiada harapan untuk hadir kerana hanya ada dua jalan untuk keluar, namun kedua-duanya tidak dapat dilalui kerana paras air sudah tinggi, dan jalan tersebut sudah pecah.
“Satu-satunya jalan hanya boleh dilalui oleh trak besar sahaja. Alhamdulillah, dua hari lalu, paras air di rumah mulai surut dan memang memberikan harapan saya untuk hadir pada majlis hari ini,” katanya ketika ditemui pada pada Majlis Konvokesyen Ke-22 USIM di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini hari ini.
Siti Nabila Ellany menambah, dia pastinya sangat kecewa jika tidak dapat hadir pada majlis hari ini kerana telah melalui pelbagai cabaran sepanjang pengajian.
“Keluarga juga memang mahu saya pergi untuk menerima ijazah hari ini malah kami juga merancang untuk menyewa trak untuk keluar dari kawasan yang masih dinaiki air, mujur kemudian air surut sepenuhnya.
“Saya telah menunggu detik ini kerana setelah berpenat lelah selama empat tahun termasuk dua tahun belajar dalam talian akibat pandemik Covid-19, saya benar-benar berharap dapat hadir untuk menerima ijazah saya secara rasmi,” jelasnya. – UTUSAN