PETALING JAYA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa kerajaan untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan bagi menjamin konsistensi Dasar Pendidikan
Presidennya, Fazreen Fauzi berkata, penubuhan itu juga dapat memastikan setiap dasar pendidikan dirancang dan dilaksanakan dengan fokus jangka panjang tanpa dipengaruhi oleh pertukaran pentadbiran atau kepentingan politik.
“Pada masa sama, ia mengangkat pendidikan sebagai agenda nasional. Dengan adanya suruhanjaya ini, pendidikan akan menjadi satu agenda yang bersifat holistik dan bebas daripada sebarang kepentingan politik.
“Suruhanjaya ini juga meningkatkan kualiti sistem pendidikan. Ia boleh berfungsi sebagai badan pengawas yang memastikan pelaksanaan dasar menepati objektif sebenar untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.
“GPMS percaya langkah ini adalah jalan terbaik untuk memastikan hala tuju pendidikan negara terus kukuh dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana konflik politik yang hanya akan membawa kesan negatif kepada para pelajar, guru, dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
GPMS pada masa sama menyeru semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, dan pemegang taruh dalam sektor pendidikan untuk bersama-sama menyokong cadangan itu demi masa depan generasi akan datang.
“GPMS sedia menjadi rakan strategik dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Suruhanjaya Pendidikan ini,” katanya.
Terdahulu, perbalahan berlaku di Dewan Rakyat antara Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mengenai keputusan tindakan memansuhkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Sehingga kini, tiada peperiksaan dilaksanakan bagi menilai prestasi murid sebaliknya hanya berdasarkan pentaksiran bilik darjah oleh guru. – UTUSAN