PETALING JAYA: Golongan profesional atau ‘kolar putih’ kini dikenal pasti sebagai kumpulan utama yang terlibat dalam hubungan sesama jenis sehingga menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan HIV di Malaysia.
Berdasarkan Laporan Pemantauan AIDS Global 2023 oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 90 peratus penghidap HIV di Malaysia terdiri daripada golongan lelaki dan hanya 10 peratus melibatkan golongan wanita.
Lebih membimbangkan, corak penularan HIV kini semakin berubah daripada pengguna dadah suntikan (PWID) kepada hubungan seksual terutama melibatkan hubungan sejenis (MSM).
Berdasarkan unjuran itu, MSM dijangka menjadi kumpulan utama dengan jangkitan HIV menjelang 2030.
Berdasarkan kajian terdahulu, prevalensi HIV dalam kalangan MSM adalah sekitar 8.9 peratus, namun trend semasa menunjukkan lonjakan kes baharu khususnya melibatkan individu berusia antara 20 hingga 39 tahun.
Pada 2021, jangkitan baharu dalam kalangan lelaki direkodkan dengan nisbah 7.5:1 berbanding wanita, dengan kebanyakan kes baharu dilaporkan di negeri-negeri berpopulasi tinggi seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Ramai yang tidak menyedari MSM bukan sahaja terdiri daripada golongan ‘biasa’, namun melibatkan individu yang berkerjaya profesional seperti doktor, jurutera, peguam atau ahli perniagaan yang berjaya, tetapi tetap terjerumus dalam dunia penyalahgunaan dadah dengan pelbagai sebab.
Pensyarah Perubatan, Kuliah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Prof. Dr. Samsul Draman berkata, kebanyakan kes MSM bermula daripada pendedahan awal terhadap aktiviti seksual tidak terkawal dan nafsu yang tinggi sehingga mendorong mereka terjebak dalam gaya hidup songsang.
Kata beliau, fenomena itu biasanya bermula di sekolah berasrama apabila mereka mungkin terlibat dalam interaksi atau hubungan sesama jenis yang berisiko mencetuskan ketagihan dan mempengaruhi orientasi seksual mereka pada masa hadapan.
“Lebih membimbangkan, individu yang terlibat dalam gaya hidup ini selalunya mempunyai personaliti kemas dan menjalani kehidupan normal termasuk sebagai suami atau pasangan biseksual.
“Hubungan seksual tanpa batas dan pergaulan bebas membuka ruang kepada perilaku terlarang akibat dorongan nafsu dan godaan. Apabila seseorang mempunyai ramai pasangan seksual, risiko jangkitan HIV menjadi lebih tinggi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Lebih membimbangkan, aktiviti grooming MSM turut melibatkan golongan bawah umur kerana remaja yang mudah terpengaruh sering menjadi mangsa manipulasi sehingga terlibat dalam aktiviti tidak bermoral ini.
Mengulas mengenai risiko jangkitan HIV, Dr. Samsul berkata, hubungan MSM khususnya melalui dubur lebih berisiko berlaku penularan HIV kerana tisu di kawasan tersebut nipis dan mudah luka.
Kata beliau, jika sembelit juga boleh menyebabkan luka pada tisu tersebut, apatah lagi ketika melakukan hubungan seksual kerana tisu pada faraj wanita diciptakan dengan sifat lebih tebal dan elastik yang lebih sesuai untuk hubungan seksual semula jadi.
“MSM adalah kumpulan berisiko tinggi dalam penularan HIV akibat hubungan tanpa perlindungan dan boleh menjangkiti pasangan tidak bersalah jika individu MSM merahsiakan aktiviti tersebut.
“Hubungan suami isteri yang kelihatan biasa sekalipun tidak menjamin keselamatan daripada jangkitan jika seorang daripada pasangan membawa virus ini.
“Trend penggunaan bahan terlarang seperti chemsex yang melibatkan dadah seperti pil kuda menyebabkan pasangan khayal dan cenderung untuk tidak menggunakan kondom yang menyebabkan peningkatan risiko penularan HIV,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, jangkitan HIV berlaku apabila cecair badan daripada individu yang dijangkiti dipindahkan kepada individu lain.
“Sebarang aktiviti yang melibatkan situasi ini boleh menyebabkan jangkitan. Hubungan seks tanpa perlindungan dan perkongsian jarum suntikan merupakan cara utama penularan. Gaya hidup yang melibatkan kedua-dua aktiviti ini dianggap sangat berisiko tinggi.
“Risiko tinggi hubungan MSM bukan sahaja melibatkan HIV, tetapi berisiko untuk penyakit kelamin lain seperti sifilis, gonorea, herpes serta hepatitis B dan C,” jelasnya. – UTUSAN