Golongan berusia jadi sasaran ‘scammer’

Golongan berusia jadi sasaran ‘scammer’

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mendedahkan mereka berusia 50 tahun ke atas mengalami nilai kerugian paling tinggi akibat diperdaya sindiket penipuan berbanding kelompok umur yang lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sepanjang 2022 hingga tahun lalu, seramai 59,974 individu telah menjadi mangsa kepada jenayah penipuan dalam talian.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 11,157 mangsa atau 18.6 peratus adalah dalam kalangan individu berumur 50 tahun ke atas.

“Trend yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini iaitu daripada 33,549 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga 15 Disember lepas membabitkan seramai 8,022 mangsa atau 24 peratus adalah mangsa berusia 50 tahun ke atas.

“Walaupun bilangan mangsa dalam kalangan umur ini adalah rendah berbanding kelompok umur yang lain, namun nilai kerugian yang dicatatkan adalah tinggi iaitu bagi tahun 2022 dan 2023, iaitu RM2.06 bilion.

“Daripada jumlah itu, kerugian melibatkan mangsa 50 tahun ke atas adalah RM909.5  juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ di sini, semalam.

Tambah Ramli, bagi tahun ini sehingga 15 Disember lalu, kerugian yang dicatatkan melibatkan mangsa 50 tahun ke atas mencecah RM782.8 juta daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM1.45 bilion. 

“Dapatan ini menjelaskan mengapa golongan lebih berusia menjadi ‘sasaran berkualiti’ kepada sindiket penipuan dan oleh itu mereka diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan dalam talian.

“Polis juga menyeru agar informasi jenayah komersial khususnya modus operandi penipuan dalam talian dapat dikongsikan kepada semua golongan khususnya ibu bapa kita, ahli keluarga, kenalan, jiran tetangga serta jadikan topik ‘scammer’ ini sebagai satu perbincangan bagi mengelak daripada menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata,  sebanyak 6,909 kes penipuan e-dagang melibatkan nilai kerugian RM62.1 juta dalam tempoh Januari hingga 15 Disember lepas.

Katanya. penipuan yang berpunca daripada iklan melalui laman Facebook mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 3,457 kes diikuti Whatsapp dengan 1,168 kes, Tiktok (800 kes) dan Telegram (771 kes)

“Dalam keghairahan sebahagian kita menyambut musim perayaan dan cuti sekolah pada minggu hadapan, saya percaya ramai yang telah mula membeli kelengkapan perayaan seperti pakaian baharu, perabot dan sebagainya.

“Tentunya, pembelian secara dalam talian akan menjadi salah satu pilihan. Justeru, sebagai langkah pencegahan, pembeli dalam talian adalah diingatkan untuk mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya