GEORGE TOWN: Gerakan Pulau Pinang hari ini mendesak Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjelaskan sama ada tanah di Sungai Pinang yang akan digunakan bagi pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara adalah tapak yang sebelum ini dirancang untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah atau sebaliknya.
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, perkara tersebut perlu dijelaskan memandangkan majlis pecah tanah untuk stesen pertama projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang itu dijadual berlangsung pada 11 Januari depan di atas tanah kosong di kawasan berkenaan.
“Kami mahu penjelasan sama ada tanah ini adalah tanah yang asalnya dirancang untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah semasa pemerintahan Parti Gerakan dahulu atau tidak.
“Jika benar, kerajaan negeri perlu menjelaskan sama ada mereka akan memperuntukkan tanah lain untuk projek perumahan tersebut atau sebaliknya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Tong Keong, ketika pemerintahan Parti Gerakan, pemaju projek Lebuhraya Jelutong (kini Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu) diberi mandat untuk membina 1,500 unit rumah kos rendah dan 4,000 unit rumah kos sederhana rendah sebagai syarat pembangunan kawasan perumahan, pangsapuri dan komersial.
Bagaimanapun, beliau mendakwa, hanya sebahagian kecil daripada rumah berkenaan telah siap dibina sehingga kini, kebanyakannya semasa pemerintahan Parti Gerakan.
“Pada 2020, Pejabat Ketua Menteri menyatakan bahawa pemaju telah menyiapkan 1,104 unit rumah kos rendah dan 978 unit rumah kos sederhana rendah.
“Namun, baki rumah yang dijanjikan masih belum dilaksanakan sehingga kini,” katanya.
Tong Keong berkata, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) didakwa lebih cenderung membina rumah mampu milik dengan harga sehingga RM300,000, sekali gus menyukarkan golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri.
“Rakyat Pulau Pinang telah lama menunggu rumah kos rendah di bawah RM50,000 dan rumah kos sederhana rendah di bawah RM75,000. Kerajaan negeri perlu menjelaskan langkah penyelesaian terhadap baki unit rumah yang belum dibina,” katanya.
Katanya, walaupun projek LRT penting untuk pembangunan negeri, keperluan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah tidak boleh diabaikan atau dikorbankan.
“Ketua Menteri perlu membuat pertimbangan serius untuk memastikan rakyat mendapat rumah mampu milik sebenar. Jadi, kami berharap agar kerajaan negeri bersikap telus dan memberikan penjelasan segera kepada rakyat Pulau Pinang mengenai isu ini,” katanya. – UTUSAN