Gagal tarik brek tangan, lori bawa muatan batu mengundur sendiri

Gagal tarik brek tangan, lori bawa muatan batu mengundur sendiri

TANGKAP layar rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang memaparkan lori tersebut mengundur sendiri di Jalan Bukit Pantai, Bangsar, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akibat gagal memastikan brek tangan ditarik dengan sempurna, sebuah lori membawa batu mengundur sendiri sebelum merempuh pagar Syarikat Air Selangor di Jalan Bukit Pantai, Bangsar, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, lori berkenaan yang ditinggalkan dalam keadaan enjin masih hidup oleh pemandunya telah bergerak secara tiba-tiba, dipercayai berpunca daripada kelalaian pemandu dan keadaan jalan berbukit di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 64 tahun yang memandu lori tersebut berhenti sebentar di hadapan pondok pengawal Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bangsar untuk bertanyakan lokasi pembuangan batu.

“Pemandu lori itu tidak menarik brek tangan dengan sempurna sebelum meninggalkan kenderaan, menyebabkan kenderaan itu mengundur sendiri dan merempuh tiang serta pagar Syarikat Air Selangor. 

“Tiang dan pagar tersebut mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah beliau, kejadian tersebut tidak melibatkan kenderaan lain dan telah diklasifikasikan di bawah Peraturan 14(1)(a), LN 166/59.

Mohd. Zamzuri turut menasihatkan semua pemandu supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum meninggalkannya, terutama di kawasan berbukit.

“Langkah seperti menarik brek tangan dengan sempurna dan mematikan enjin kenderaan adalah penting untuk mengelakkan kemalangan yang boleh membahayakan nyawa dan harta benda,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya