BESUT: Seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sini, Jumaat lalu.
Ibunya, Noor Hayuni Mohd Noor, 42, berkata, Nurul Dania Balqis Stimat, 16, adalah OKU masalah pembelajaran dan kali terakhir dilihat pada malam Khamis lepas di rumah ketika bersama datuk, nenek serta dua adiknya di Kampung Pengkalan Sentul, Seberang Jertih.
Katanya, difahamkan sebelum kehilangan remaja yang mesra dipanggil sebagai Dania itu, berlaku perselisihan faham antara dia dan adik lelaki.
“Biasanya pergaduhan mereka tidak berpanjangan tetapi pada kali ini Dania keluar dari rumah tanpa pengetahuan sesiapa dan ini pertama kali berlaku.
“ Kami sangat bimbang akan keselamatannya dan berharap segera ditemui dan meminta dia pulang ke rumah,” katanya.
Katanya, ketika kejadian dia tiada di kampung kerana menetap serta bekerja di Kuala Lumpur.
“Setakat ini nombor telefon Dania masih berfungsi tetapi panggilan tidak dijawab. Aplikasi WhatsApp tidak aktif. Laporan polis dibuat di Balai Polis Jertih. Mohon jasa baik sesiapa ternampak, segera menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.