BESUT: Remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari rumah datuknya di Jertih di sini, sejak Jumaat lalu ditemukan selamat pagi ini.
Ibunya, Noor Hayuni Mohd. Noor, 42, berkata, Nurul Dania Balqis Stimat, 16, ditemukan selepas diai ke rumah bapanya di Bukit Keluang di sini pagi ini.
“Kira-kira pukul 8 pagi ini, saya dimaklumkan penemuan Nurul Dania Balqis dan saya kemudian menghubungi adik lelaki berhubung perkara itu.
“Sekarang saya berada di Kuala Lumpur dan bergerak balik ke Kampung Pengkalan Sentul, Seberang Jertih petang ini. Buat sementara waktu adik yang tolong menguruskan perkara ini, ” katanya hari ini.
Menurutnya, Nurul Dania Balqis ditemukan dalam keadaan selamat dan ahli keluarga telah ke balai polis bagi memaklumkan penemuannya dan akan membawanya pulang ke kediaman mereka.
Semalam, media melaporkannya seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sini, Jumaat lalu.
Noor Hayuni berkata, gadis itu adalah OKU masalah pembelajaran dan kali terakhir dilihat pada malam Khamis lepas di rumah ketika bersama datuk, nenek serta dua adiknya di Kampung Pengkalan Sentul, Seberang Jertih. – UTUSAN