KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Fizz Fairuz, 44, mendedahkan pernah menjadi mangsa berita palsu apabila sebelum ini dikatakan telah meninggal dunia.
Fizz yang juga penyampai radio Suria FM berkata, dalang disebalik perbuatan itu memperdaya ramai orang termasuk ahli keluarga pelakon tersebut yang cemas dan terkejut selepas berita itu disebarkan.
“Cerita itu disebarkan di media sosial, kononnya saya sudah meninggal dunia.
“Ketika itu ramai yang menghubungi keluarga saya, termasuk pihak wartawan yang mahu mendapatkan kesahihan.
“Saya kesal kerana perbuatan tidak bertanggungjawab ini telah menyusahkan ramai pihak,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin dalam masa yang sama berharap dalang disebalik kegiatan tidak bermoral itu dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
“Ada pautan lain yang disertakan pada setiap berita palsu yang disebarkan. Jadi kita tahulah apa tujuan sebenar si pelaku bertindak sebegini.
“Apa pun saya harap mereka dapat dibawa ke muka pengadilan supaya perkara seperti ini tidak terus berlaku dan menyusahkan ramai pihak,” jelasnya.