Finas perjelas alasan Imaginur tewaskan Abang Adik di FFM33 - Utusan Malaysia

Finas perjelas alasan Imaginur tewaskan Abang Adik di FFM33

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Filem Imaginur terbitan Lumatic Films Sdn Bhd, lebih menepati kriteria yang ditetapkan barisan juri Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) sehingga melayakkannya memenangi trofi Filem Terbaik, malam tadi. 

Menurut Ketua Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin, sebagai penganjur mereka menghormati pilihan barisan juri yang sepakat memilih Imaginur melihat kepada konsep, keseluruhan cerita dan idea asal filem tersebut.

“Sebenarnya, baik Imaginur atau Abang Adik, masing-masing memiliki kekuatan tersendiri. 

 “Cuma malam ini barisan juri yang diketuai oleh U-Wei Haji Saari melihat kepada cerita keseluruhan dan kriteria tertentu yang membuatkan filem Imaginur lebih menonjol. Filem ini juga memiliki kisah di mana penonton kena sedikit berfikir pengakhirannya. 

“Pengarahnya, Nik Amir juga ada beritahu tadi memang cerita ini dirombak berkali-kali sebelum penggambaran dilakukan,” katanya. 

Azmir ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Festival Filem Malaysia ke-33 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, pada Sabtu.

Dalam pada itu, jelas Azmir, barisan juri yang memilih Abang Adik mewakili Malaysia untuk Filem Cereka Antarabangsa, Anugerah Akademi (Oscar) adalah berbeza dengan juri di Festival Filem Malaysia ke-33. 

Oleh itu, walaupun tidak dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM33, Abang Adik tetap mewakili Malaysia kerana lebih bersesuaian dengan kriteria pertandingan antarabangsa. 

“Saya yakin panel juri yang memilih Abang Adik ke Oscar telah mempertimbangkan kriteria yang sesuai untuk bersaing di peringkat antarabangsa. 

“Kriteria berbeza. Panel penilai juga berbeza. Pemilihan untuk Oscar perlu dipilih lebih awal memandangkan semua filem yang tercalon akan ditayangkan di Amerika Syarikat untuk tontonan pada juri bermula November,” tambahnya. 

Terdahulu, filem Imaginur dinobat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).

Kejayaan Imaginur mengulang kembali sejarah kemenangan pengarahnya, Nik Amir Mustapha, untuk filem KIL sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 pada 2013.

Bagaimanapun, filem Abang Adik arahan Jin Ong, dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa, Anugerah Akademi Oscar  pada Mac tahun depan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya