TAHUN 2024 menyaksikan filem aksi drama dan komedi masih menjadi pilihan utama penonton di Malaysia. Filem Sheriff yang diterbitkan Skop Productions menjadi naskhah dengan kutipan paling tinggi untuk tahun ini diikuti The Experts terbitan Astro Shaw yang turut mengangkat genre aksi cuma dalam naratif jenayah rompakan.
Filem All In dengan latar permainan pertandingan Poker menjadi filem yang turut mendapat perhatian tahun ini dengan suntikan komedi lakonan Namewee.
Hal ini tidak jauh beza dengan tahun lalu apabila Polis Evo 3, juga naskhah aksi menjadi filem dengan tontonan tertinggi. Cumanya tahun lalu, filem animasi turut mengisi tempat dalam senarai filem terlaris.
Menerusi data yang diperoleh Mingguan Malaysia daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, berikut kami senaraikan filem Malaysia di bawah skim Wajib Tayang dengan kutipan panggung yang paling laris dan tercorot tahun 2024.
SHERIFF: NARKO INTEGRITI
Kita mulakan dengan filem paling laris tahun ini iaitu Sheriff, arahan Syafiq Yusof yang ditayangkan bermula 18 April 2024. Dengan penonton melebihi 3 juta di panggung, Sheriff berjaya mengutip RM59,449,159.30.
Kejayaan Sheriff telah mencatatkan rekod baru pengarah yang sama apabila Syafiq pernah mengutip sebanyak RM50 juta untuk filem Polis Evo 3, pada tahun lalu.
THE EXPERTS
Menduduki tangga kedua ialah filem The Expert dengan jumlah penonton melebihi 600,000 orang. Filem arahan Nazim Shah dan Andre Chiew yang mula ditayangkan pada 23 Mei berjaya menggondol jumlah kutipan sebanyak RM11,160,483.91
ALL IN
Filem ketiga paling banyak ditonton tahun ini ialah All In dengan jumlah penonton sebanyak 422080. Filem terbitan ATF Group yang ditayangkan pada 8 Februari lalu berjaya mengutip sebanyak RM7,138,854.91 mengalahkan Pendekar Awang: Darah Indera Gajah sebanyak yang hanya memperoleh RM5,863,738.72.
Beralih pula kepada filem dengan kutipan terendah, tahun ini menyaksikan prestasi kutipan panggung filem Malaysia sedikit lebih baik berbanding tahun lalu.
Pada 2023, kita menyaksikan tiga naskhah filem tempatan gagal memperoleh sekurang-kurangnya RM10,000 kutipan di panggung. Tahun ini hanya satu filem sahaja yang gagal memikat penonton ke panggung dengan kutipan di bawah RM10,000.
ABINAYA
Menduduki tangga ketiga FILEM dengan kutipan tercorot tahun ini, Abinaya memperoleh jumlah tontonan sebanyak 1106. Filem terbitan Algebra Films ini mencatatkan kutipan panggung sebanyak RM 19,202.90 sejak ditayangkan pada 8 Ogos lalu.
THIS LAND OF MINE
Filem kedua yang memperoleh kutipan rendah tahun ini ialah This Land Of Mine dengan 612 penonton di panggung. Filem arahan Feisal Azizuddin ini hanya memperoleh kutipan sebanyak RM 10,195.50.
TAFAKUR
Filem tempatan dengan kutipan panggung paling rendah di Malaysia untuk 2024 ialah Tafakur hanya hanya memperoleh 342 penonton di pawagam. Filem terbitan Feisk Sdn Bhd ini hanya berjaya memperoleh kutipan sebanyak RM 5,778.55 sejak ia ditayangkan 19 September lalu.