KUALA LUMPUR: Debaran kian terasa, hanya satu daripada tujuh naskhah yang berkualiti bakal dinobat sebagai Filem Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), hari ini.
Antara tujuh filem yang berjaya membolosi kategori Filem Terbaik itu adalah Imaginur, Abang Adik, Duan Nago Bogho, Sheriff: Narko Integriti, Mechamato Movie, Hungry Ghost Diner dan Rain Town.
Setakat ini, filem Imaginur dan Abang Adik bersaing sengit dan diramalkan bakal dinobatkan sebagai pemenang kategori tersebut.
Filem Imaginur yang bergenre sains fiksyen romantik arahan Nik Amir Mustapha, 39, itu juga berjaya mendominasi 15 kategori daripada 24 kategori dipertandingkan.
Malah, filem lakonan mantap Beto Kusyairy dan Diana Danielle itu turut tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Selain itu, filem terbitan Lumatic Films itu turut membolosi kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Poster Terbaik, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik dan Penyunting Terbaik.
Sementara itu, filem Abang Adik yang mengetengahkan genre drama kekeluargaan arahan Jin Ong turut meraih 11 pencalonan pada FFM33.
Antaranya, kategori Pengarah Harapan (Jin Ong), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan dan Lakon Layar Terbaik.
Lebih menarik lagi, naskhah lakonan Wu Kang Ren ini juga sudah mempunyai rekod yang baik kerana pernah memenangi Filem Terbaik, Festival Filem Asia Antarabangsa (AWFF) Ke-10 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan bakal meraih kejayaan dalam Anugerah Akademi (Oscar) Ke-97 di AS pada Mac tahun depan.
Bukan itu sahaja, filem itu juga telah memenangi Filem Terbaik, Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition Ke-22) dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics Award serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik, Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali.
Selain itu, filem itu juga menerima pengiktirafan Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China.
Tidak kurang hebatnya, filem Sheriff arahan Syafiq Yusof yang pernah mencatat kutipan tertinggi RM60.5 juta di pawagam juga berjaya mendapat sembilan pencalonan pada FFM33.
Selain kategori Filem Terbaik, Sheriff juga tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik (Syafiq Yusof), Pelakon Lelaki Terbaik (Zul Ariffin), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Syafiq Kyle), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Elizabeth Tan), Rekaan Kostum/Busana Terbaik, Kesan Khas Visual Terbaik, Penyunting Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Tidak ketinggalan, filem Rain Town turut tercalon dalam sembilan kategori yang dipertandingkan pada FFM33 termasuklah Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Bagi kategori Pengarah Terbaik, pengarah, Nik Amir dan Syafiq Yusof bakal bersaing dengan Sabri Yunus, Tunku Mona Riza dan Nizam Razak bagi pencalonan yang sama.
Dalam pada itu, untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, Diana yang diramalkan bakal menjadi pemenangnya turut bersaing dengan empat lagi aktres iaitu Susan Lankester, Nadia Aqilah, Nabila Huda dan Chen Keat Yoke.
Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik pula, Beto turut bersaing dengan Zul Ariffin, Asrulfaizal, Shaheizy Sam dan Chew Kin Wah .
Manakala, kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula turut mencalonkan Nadiya Nisaa, Elizabeth Tan, Pauline Tan, Angeline Tan dan Remon Lim.
Dalam masa sama, pelakon Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Jack Tan, Wan Azli dan Kahoe Hon turut tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Tidak ketinggalan, Jin Ong yang dijangka bakal memenangi kategori Pengarah Harapan turut bersaing bersama lagi empat pengarah hebat seperti Cho We Jun, Jacky Yeap, Kyoll Hamzah dan Suhaiza Aziz.
Bertemakan EMAS (Evolusi Sinema Malaysia), FFM33 menerima 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding yang merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.
Pemenang kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas bakal menerima RM10,000 dan trofi.
Lebih mengujakan lagi, Anugerah Filem Terbaik pula akan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.
FFM33 bakal berlangsung dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media serta bersiaran secara langsung di TV2 dan YouTube FINAS, pada pukul 8.30 ini. -UTUSAN