KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan sebanyak tujuh filem berjaya membolosi kategori Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) pada tahun ini.
Antara tujuh karya berkualiti yang memenuhi kriteria barisan juri bagi kategori tersebut adalah Imaginur, Abang Adik, Sheriff: Narko Integriti, Rain Town, Duan Nago Bogho, Mechamato Movie dan Hungry Ghost Diner.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, persaingan yang sengit membuatkan pihak juri bersetuju memilih tujuh filem cereka bertanding bagi kategori Filem Terbaik kerana setiap karya memiliki kekuatan tersendiri.
“Sepatutnya hanya lima filem dipilih dalam senarai Top 5 bagi kategori Filem Terbaik, tetapi barisan juri buat keputusan pilih tujuh filem. Kami menerimanya kerana sudah mendapat penjelasan mengenai banyak saingan tahun ini.
“Melihat senarai tujuh filem yang bolos dalam kategori Filem Terbaik, kami nampak ada peningkatan dari segi kualiti dan saingan. Ini kerana ada filem sudah memenangi banyak festival antarabangsa dan mendapat kutipan pecah panggung.
“Selain itu, bukan sahaja filem bahasa Melayu, tetapi bahasa Cina dan ada juga filem berlainan genre seperti aksi, drama dan sains fiksyen,” katanya.
Dalam masa sama, Azmir turut menyifatkan kesemua tujuh filem yang tersenarai dalam kategori Filem Terbaik itu sangat berkualiti selain layak untuk dipertandingkan.
“Setiap filem berjaya dalam kategori Filem Terbaik ada kekuatannya seperti filem Imaginur, Rain Town dan Sheriff. Ini kerana pembikinannya bagus dan mendapat kutipan pecah panggung, tahun ini.
“Secara kasar, sudah nampak saingan sengit filem Abang Adik arahan Jin Ong yang mendapat 11 pencalonan dan Imaginur arahan Nik Amir Mustapha mendominasi 15 daripada 24 pencalonan.
“Namun, Abang Adik ada kelebihan kerana sudah banyak ditayangkan di festival luar negara dan dapat pengiktirafan antarabangsa.
“Saya melihat barisan juri akan berhadapan dengan cabaran sukar memilih filem terbaik. Kami ada bincang dengan pihak penjurian, walau apapun kena ada pemenang,” katanya.
Mengulas mengenai proses penjurian, Azmir berkata, barisan juri FFM33 turut berdepan cabaran untuk memilih filem yang layak untuk mara ke peringkat akhir memandangkan sudah dua tahun acara berprestij itu tidak dianjurkan.
Azmir juga yakin dengan ketelusan barisan juri menilai dari semua aspek dan sudut serta menonton filem yang bertanding banyak kali kerana FFM ada ciri-ciri filem yang ingin diketengahkan.
“Pada tahun ini, kami menerima lebih daripada 100 pencalonan filem mungkin disebabkan sudah dua tahun FFM tidak dianjurkan. Filem dihantar juga melebihi daripada jumlah sebelum ini kerana banyak terkumpul.
“Saya pasti setiap juri ada pengamatan apa yang mereka mahu sampaikan atau kenapa pilih naskhah untuk diangkat sebagai Filem Terbaik,” jelasnya.
Difahamkan, Finas juga akan memberi peluang kepada ketua juri untuk mengulas mengenai pemilihan Filem Terbaik selepas malam kemuncak FFM33 berakhir.
Malam kemuncak Anugerah FFM 33 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur, pada hari Sabtu, pukul 8.30 malam.
FFM 33 akan disiarkan secara langsung dari TV2 dan YouTube Finas.-UTUSAN