PETALING JAYA: Syarikat pengusaha feri Langkawi, Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (Ferry Line) menarik balik kenyataan perusahaan tersebut sebelum ini yang mahu menaikkan harga tambang penumpang mulai tahun depan
Pengurus Besar Ferry Line, Kapten Tc. Dr Baharin Baharom berkata, keputusan itu dibuat dengan nasihat Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri Kedah.
Bagaimanapun, beliau berkata, penarikan kenaikan harga tambang itu hanya melibatkan warga tempatan dan kenaikan akan diteruskan bagi pelancong asing bermula 1 Januari depan.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan, mana-mana pengusaha feri yang nekad untuk menaikkan harga tambang, khususnya kepada warga tempatan tidak layak mendapat subsidi diesel
Pagi tadi, Pengurus Operasi Ferry Line, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, tambang feri bagi setiap perjalanan ulang alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari ini.
Katanya, kenaikan harga tiket itu membabitkan semua kategori penumpang iaitu warganegara, bukan warganegara dan penduduk Langkawi. Namun, tiket untuk warga emas 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) tidak mengalami perubahan. – UTUSAN