KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin, mengesahkan sudah menerima notis tuntutan (LOD) daripada bekas isteri, Nur Fazura berhubung kenyataan di mahkamah membabitkan isu kenderaan.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin,34, notis berkenaan sudah dibalas dan diserahkan kepada peguam yang dilantik untuk urusan selanjutnya.
“Iya, saya ada terima LOD rasanya sekitar bulan lalu iaitu sebelum saya mengerjakan umrah. Saya pun kurang pasti tarikh sebenar.
“Saya serahkan kepada peguam untuk memberi balasan. Notis jawapan balas sudah diserahkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu tujuh hari bermula tarikh LOD diterima.
“Setakat ini itu sahaja yang saya boleh kongsikan. Perkara seterusnya saya cuma tunggu sahaja di mahkamah,”katanya.
Fattah ditemui ketika majlis Sidang Media Entertainment yang berlangsung di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun Fattah enggan berkongsi secara terperinci mengenai kandungan surat yang diterima.
“Itu adalah urusan personal. Saya tak boleh kongsi, lebih baik saya simpan sendiri” jelasnya.
Terdahulu, isu kenderaan yang dihadiahkan Fazura kepada aktor tersebut kembali menjadi bualan selepas difahamkan peguam bekas isterinya menyerahkan notis tuntutan yang disebutkan.
Ini kerana ketika sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada Oktober lalu, Fazura dalam satu kenyataan memberitahu dia menghadiahkan sebuah kereta untuk Fattah.
Membalas kenyataan tersebut, Fattah ketika itu menegaskan kereta itu bukan hadiah sebaliknya dia membayar ansuran bulanan menerusi potongan gaji.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 4.
Sementara itu bercakap tentang penglibatan dalam Usanita Entertainment, Fattah bersama pelakon Sophia Albarakbah akan diberi tanggungjawab sebagai wajah mempromosikan syarikat berkenaan.
Memberi fokus kepada bidang hiburan kedua-dua mereka akan tampil dalam sebuah drama untuk siaran digital.
Drama arahan tersebut sebagai langkah mempromosikan produk usahawan di bawah Usanita.-UTUSAN