BESUT : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengagihkan bantuan bernilai RM15,000 kepada mangsa banjir di Terengganu.
Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, bantuan itu merupakan sumbangan daripada usahawan-usahawan dari sekitar Lembah Klang yang berada di bawah penyeliaan FAMA.
“Inisiatif daripada FAMA ini mendapat sokongan usahawan-usahawan dan berjaya mengumpul sumbangan berupa bekalan makanan yang kebanyakannya adalah produk dikeluarkan mereka sendiri.
“Sumbangan ini telah kita serahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Terengganu untuk menyelia dan mengagihkan kepada mangsa banjir terlibat di seluruh negeri,” katanya ketika Program Walkabout Jualan Ihsan Madani @ PTK Nyiur Tujuh, di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini inisiatif bantuan daripada usahawan itu dilaksanakan di Terengganu dan digerakkan ke Kelantan dan Kedah yang turut terjejas dengan bencana alam baru-baru ini. – UTUSAN