PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius mengenai insiden tragik seorang murid maut di Serdang, Selangor terkena renjatan eleketrik.
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, meskipun ia tidak membabitkan premis institusi di bawahnya, beliau berharap tragedi itu dijadikan pengajaran bagi para pentadbir sekolah.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa namun berharap agar kes insiden ini diambil iktibar agar tidak berulang,” jelasnya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan bulanan di sini hari ini.
Semalam, media tempatan melaporkan seorang murid tahun enam meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah agama.
Fadhlina pada masa sama mengucapkan takziah kepada keluarga seorang penuntut wanita dari Institut Pendidikan Guru di Besut, Terengganu maut dalam kemalangan di Kelantan semalam.
Beliau menambah, rektor institusi berkenaan juga akan mengambil tindakan susulan termasuk menyantuni waris mangsa serta aspek kebajikan 10 mangsa yang cedera.
Nahas berlaku ketika mereka dari arah Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan balik ke Besut sebelum bertembung dengan sebuah treler di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. – UTUSAN