KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz terkilan apabila akaun Facebook rasmi milik kumpulan nasyid itu digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut Azadan, peristiwa itu disedari minggu lalu setelah dia tidak boleh lagi memuat naik sebarang hantaran di akaun tersebut.
“Saya ada minta bantuan kawan untuk dapatkan semula Facebook kami, katanya penggodam berasal dari Amerika Syarikat.
“Dua hari lalu, saya sedar gambar Rabbani sudah tiada lagi. Bukan itu sahaja, mahu buat apa-apa hantaran juga tidak boleh.
“Hantaran terakhir kami yang masih ada hanyalah pada tahun 2018,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Baru, baru-baru ini.
Menurut Azadan, kehilangan akaun berkenaan membuatkan mereka bersedih kerana banyak kenangan sepanjang kerjaya lenyap begitu sahaja.
“Sejujurnya sangat sedih bila Facebook itu digodam sebab ada banyak memori kami kongsikan di sana. Lebih-lebih pengikut kami hampir mencecah 800,000. Tidak tahu apa niat orang itu godam akaun kami.
“Walaupun Rabbani ada media sosial lain, tapi Facebook adalah tempat yang paling selesa. Sekarang, kami sudah pun buka semula akaun baru iaitu rabbanigroup dengan logo berwarna ungu.
“Sekarang, itu sahaja akaun rasmi kami. Ada juga ‘page’ Rabbani lain, cuma tidak tahu siapa yang buat,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Rabbani bakal tampil di Konsert Rahmati Melaka di Melaka International Trade Centre (MITC) pada 13 dan 14 Disember.
Turut sama memeriahkan majlis ialah bekas penyanyi kumpulan Raihan, Affad & Daqmie, Zamani , Furhan XPose , serta Yasser Atak dan Sazali MS.
Tiket dijual pada harga serendah RM88. -UTUSAN