GENTING HIGHLANDS : Pengarah, Tunku Mona Riza meluahkan rasa terkilan apabila pelakon Fabian Loo,34, gagal tercalon dalam mana-mana kategori Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM) yang bakal berlangsung pada 7 Disember depan.
Menurut Tunku Mona, Fabian mempunyai bakat dan potensi besar serta layak untuk menerima pengiktirafan bagi anugerah filem tempatan.
“Saya agak terkilan dia tidak tercalon dalam FFM sebab itu antara pentas anugerah berprestij untuk penggiat filem tanah air.
“Sayangnya nama dia tidak dinominasi dalam FFM, dia seorang pelakon yang sangat berpotensi besar.
“Namun, kemenangan Fabian sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Rain Town pada Festival Filem Asia Pasifik Kuala Lumpur ke-61 (APFF61) adalah sesuatu yang besar untuk kariernya,” katanya ketika ditemui selepas malam kemuncak APFF61 di sini, semalam.
Selain itu, sutradara filem Redha itu turut menyifatkan Fabian merupakan antara aktor lelaki yang bakal menyinar satu hari nanti.
“Dia seorang pelakon yang mempunyai potensi besar dan saya percaya Fabian akan menjadi satu nama besar satu hari nanti.
“Fabian seorang yang chill dan tidak beritahu sama ada kecewa atau tidak (tidak tercalon FFM), namun ketika dia dapat tahu Rain Town dapat sembilan nominasi, dia terus ucap tahniah.
“Masa dia bersama dengan saya untuk Rain Town, kemampuan dia memang terserlah bermula pada waktu sesi uji bakat untuk watak Isaac. Jadi, saya yakin dengan bakatnya itu,” katanya.
Semalam, Fabian melakar sejarah manis dalam portfolionya sebagai pelakon apabila diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik APFF61 selain turut mengalahkan rakan senegara, Farid Kamil untuk filem Gold.
Bukan sahaja Fabian, penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz turut memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik APFF61.-UTUSAN