KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesan enam jenis penyakit bawaan air yang dihadapi mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif di seluruh negara, setakat semalam.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, enam penyakit yang dikenal pasti ialah jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) dengan 7,304 kes, diikuti gastroenteritis akut sebanyak 317 kes dan konjunktivitis (radang mata) dengan 197 kes.
Kata beliau, sebanyak 20 kes cacar air, 13 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta dua kes Covid-19 turut dikesan di PPS yang terlibat daripada 34,503 individu yang menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Setakat ini tiada kes demam kepialu, penyakit kencing tikus dan wabak lain yang dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir.
“Bagi pesakit Covid-19 pula, pegawai perubatan akan terus memantau situasi ini dan menetapkan garis panduan untuk mengasingkan mereka supaya penyakit ini tidak merebak,” katanya selepas Majlis Perasmian Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024, di sini hari ini.
Jumlah mangsa banjir kembali menunjukkan peningkatan setakat 4 petang tadi susulan amaran hujan lebat berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hingga Rabu ini.
Dua negeri di pantai timur kembali membuka semula PPS melibatkan Terengganu dan Pahang.
Berdasarkan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan 5,048 mangsa daripada 1,317 keluarga kini ditempatkan di 41 PPS seluruh negara.
Terengganu mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 4,531 mangsa daripada 1,180 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS yang dibuka di dua daerah.
Di Kelantan, mangsa banjir direkodkan seramai 180 orang daripada 42 keluarga dengan sebanyak tiga PPS melibatkan satu daerah.
Johor pula merekodkan seramai 150 orang daripada 40 keluarga kini ditempatkan di tiga PPS yang dibuka di dua daerah di negeri itu.
Sementara itu, Pahang mengaktifkan enam PPS di satu daerah bagi menempatkan seramai 145 mangsa daripada 41 keluarga.
Begitu juga di Perak dengan 42 mangsa daripada 14 keluarga dengan dua PPS diaktifkan di dua daerah manakala Melaka mengaktifkan satu PPS bagi persediaan sekiranya berlaku banjir gelombang kedua. – UTUSAN