MELAKA: Empat sahabat dari Jakarta, Indonesia nekad meredah laluan lebih 12,000 kilometer (km) dengan mengayuh basikal menggunakan laluan darat ke Mekah.
Menariknya, kayuhan merentas beberapa buah negara itu membabitkan individu yang berusia antara 59 hingga 66 tahun dan bercita-cita besar mahu menunaikan umrah, tahun depan.
Mereka ialah Angien, 59, dari Kerawang; Yong Chie, 66, dari Bandung; Eko, 60, dari Jakarta dan Cris, 60, dari Sukabumi.
Yong Chie selaku ketua rombongan berkata, mereka bertolak dari Jakarta pada 2 November lalu dan dijangka sampai ke Mekah sebelum bermulanya Ramadan.
“Kami berpakat untuk ke Mekah menunaikan umrah dengan berbasikal walaupun mengetahui risikonya dalam usia emas. Kami sudah bertekad ingin membuktikan faktor umur bukan penghalang mencapai cita-cita hanya berbasikal menunaikan umrah.
“Ini adalah kali kedua saya berbasikal kerana 10 tahun lalu saya berkonvoi dengan empat rakan dan berjaya sampai ke Mekah tetapi kali ini saya bersama tiga rakan yang pertama kali turut serta.
“Alhamdulillah, sepanjang perjalanan dari Jakarta ke Sumatera Selatan hingga Batam lalu ke Singapura serta Johor dan hari ini sampai di Melaka tidak ada insiden buruk berlaku,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Klebang di sini, baru-baru ini.
Tambah Yong Chie, sepanjang perjalanan dari Johor Bahru ke Melaka mereka disambut baik oleh ahli kariah masjid atau surau untuk dijadikan tempat melelapkan mata setelah penat seharian mengayuh basikal.
Katanya, di Malaysia mereka dilayan sangat baik malah ada yang menjamu hidangan termasuk beberapa restoran dan gerai memberi makanan serta minuman percuma.
“Syukur perjalanan di Malaysia ini cukup mengujakan dan ujian sebenar akan kami lalui ketika melalui perjalanan ke Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Arab Saudi,” ujarnya. – UTUSAN