Empat sekawan tak mengaku culik, kurung wanita Indonesia

Empat sekawan tak mengaku culik, kurung wanita Indonesia

EMPAT sekawan ketika hadir di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang atas pertuduhan melarikan dan mengurung seorang wanita warga Indonesia. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Empat sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melarikan secara paksa dan melakukan kurungan salah terhadap seorang wanita warga Indonesia, awal bulan ini.

Keempat-empat tertuduh, R.Narindran, 30; M.Areveen Raj, 28; R. Jayruban,25; dan Mohammad Syafiq Segnar Abdullah, 29, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat lelaki itu bersama seorang yang masih bebas telah melarikan secara paksa seorang wanita warga Indonesia berusia 41 tahun, dengan niat menyebabkan kurungan salah di sebuah rumah di Palma Laguna Waterpark Condominium, Jalan Baru, Perai, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Kelawai, daerah Timur Laut pada pukul 8 malam, 5 Disember sehingga pukul 11.45 pagi, 7 Disember lalu.

Atas kesalahan tersebut, kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tujuh tahun dan juga dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.

Ketika prosiding, Nurul Atikah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya ingin menawarkan jaminan terbabit, namun, meminta mahkamah untuk mengenakan syarat yang ketat kepada mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh diberikan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan mereka turut dikenakan syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi, melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai dan sekiranya syarat ini tidak dipatuhi jaminan akan terbatal.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan dan untuk serahan dokumen kes.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya