KUANTAN: Daerah Maran dekat sini menjadi lokasi pertama pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ekoran gelombang kedua banjir yang mula melanda.
Sebanyak empat PPS dibuka iaitu Ulu Luit, Pusat Pemindahan Tetap Luit, Surau Bukit Kuin dan PPS Kampung Baru Sungai Chedong.
Seramai 45 mangsa membabitkan 13 keluarga terjejas susulan kejadian hujan berterusan yang bermula pada awal pagi semalam.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Maran berkata, hujan berterusan berkenaan menyebabkan kawasan rendah di sekitar daerah tersebut dinaiki air bermula pukul 8 malam semalam.
“PPS pertama dibuka pukul 10 malam iaitu PPS Ulu Luit yang menempatkan 15 mangsa daripada empat keluarga, diikuti Pusat Pemindahan Tetap Luit yang dibuka pukul 10.30 malam menempatkan 18 mangsa, empat keluarga.
“PPS Surau Bukit Kuin dibuka pukul 11 malam menempatkan lima mangsa membabitkan sebuah keluarga dan PPS Kampung Baru Sungai Chedong pula menempatkan tujuh mangsa daripada empat keluarga,” katanya di sini. – UTUSAN