KUALA NERUS: Seramai empat mangsa korban direkodkan dalam kejadian banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak 28 November lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, salah seorang mangsa yang terkorban itu merupakan anggota polis bertugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Dungun.
Menurutnya, anggota polis tersebut, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, ditemukan lemas pukul 2.15 petang semalam.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal dilaporkan hilang setelah dihanyut arus deras di Ladang Sawit, Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya, Dungun, pukul 5 petang Sabtu lalu.
“Anggota polis itu merupakan mangsa korban keempat dalam gelombang pertama banjir di negeri ini,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan banjir kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pondok Polis Tepoh di sini, hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, seorang warga, Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, turut menjadi mangsa banjir di negeri ini apabila ditemukan lemas di kawasan sawah padi di Jalan Kampung Pinang dekat Besut pada pukul 10 pagi, 28 November lalu.
“Pesara petugas veterinar yang merupakan korban pertama banjir itu telah keluar untuk memukat ikan di kawasan sawah tersebut bersama tiga rakannya dengan menaiki sampan sebelum kejadian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Khairi berkata, dua beradik turut menjadi korban banjir apabila terperangkap dalam rumah yang ditimpa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit di Ajil dekat Hulu Terengganu pada pukul 4.50 petang, 29 November lepas.
“Walaupun Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir, namun saya berharapkan jumlah mangsa korban banjir di Terengganu tidak bertambah lagi,” katanya. – UTUSAN