PASIR PUTEH: Selepas bertahan lima hari akibat dilanda ombak besar dan hujan lebat berterusan, rumah yang dihuni empat beranak asnaf di Pantai Bisikan Bayu Semerak, di sini akhirnya runtuh, kelmarin.
Chik Amat Ismail, 43, berkata, dia bersama isteri dan dua anak mereka kini berlindung di rumah sepupunya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
Katanya, kejadian itu hanya diketahui selepas dia kembali ke rumah itu untuk membawa keluar barangan yang masih ditinggalkan sebelum kejadian.
“Sepanjang tempoh ombak besar dan hujan berterusan serta tiupan angin kencang, saya sudah menjangkakan rumah ini tidak mampu bertahan.
“Jadi saya ambil keputusan berpindah awal dan menumpang di rumah sepupu kerana tidak sanggup berada dalam keadaan ketakutan setiap kali ombak besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Chik Amat berkata, dia kini buntu memikirkan nasib selepas hilang tempat berteduh.
Katanya, pendapatan tidak menentu sebagai peniaga air balang menyulitkannya untuk membaik pulih rumah tersebut.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, empat beranak itu hidup dalam keresahan semasa musim tengkujuh apabila sebahagian rumah mereka pecah dan bergegar akibat dihempas ombak besar sejak seminggu lalu. – UTUSAN