PETALING JAYA: Gara-gara sering membawakan karakter antagonis, pelakon, Shiqin Kamal terpaksa berhadapan dengan cercaan penonton di ruangan komen akaun Instagram miliknya.
Namun begitu, Shiqin mengakui terkilan dan marah kerana terdapat segelintir penonton yang kurang cerdik memanggilnya dengan gelaran ‘jalang’ kerana tidak boleh membezakan lakonan dan kehidupan peribadinya sebagai seorang artis.
“Bila baca sesekali komen begitu, tidak mengapa. Tapi lama kelamaan saya sedar makian itu terlalu kerap sampai ada yang lakukan serangan peribadi termasuk fizikal seperti kutuk gigi saya kuning. Belum lagi ada makcik yang mahu cubit saya depan-depan.
“Ada juga yang komen menggelar saya dengan panggilan ‘jalang’. Pada saya itu tidak baik dan buat saya marah sedangkan itu lakonan sahaja. Mengapalah ada yang sampai tidak cerdik dan boleh terpancing dengan lakonan drama.
“Begitu ramai yang terbawa emosi sampai sanggup pergi cari Instagram saya dan komen yang tidak baik sebegitu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, pelakon Reversi itu juga lega kerana tidak pernah mendedahkan butiran ahli keluarganya kerana gusar mereka juga akan terkena tempiasnya.
“Ada juga komen yang turut melibatkan keluarga serta ibu ayah. Mujurlah saya seorang yang sangat menjaga privasi.
“Jika muat naik gambar, saya tidak penah ‘tag’ kakak atau anak sedara. Memang saya tidak dedahkan keluarga kerana gusar mereka pun boleh terkena. Keluarga tahu saya sering dapat komen begitu, mereka juga tidak layan,” tambahnya.
Bagaimanapun, Shiqin atau , Nur Ashiqin Mohd Kamal , 32, berharap pihak produksi di luar sana akan dapat melihat kemampuannya melakonkan pelbagai karakter berbeza dan bukan hanya watak penyondol semata-mata.
Dalam perkembangan terkini, Shiqin bergandingan dengan pelakon Beto Kusyairy menjayakan naskhah bertemakan perjalanan masa bertajuk Reversi arahan Adrian Teh.
Selain Shiqin dan Beto filem tersebut turut dibintangi Vanidah Imran, Hasnul Rahmat, Azhan Rani, Zahiril Adzim dan bakal ditayangkan bermula hari ini. -UTUSAN