Kejohanan Memanah Padang Kebangsaan@ELMU 2024 (NFAC @ELMU 2024) yang bakal berlangsung pada 28 dan 29 Disember ini dijangka melibatkan sehingga 200 orang peserta daripada seluruh negara termasuk peserta kategori di bawah umur.
Naib Cnselor Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU), Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, kejohanan peringkat kebangsaan yang julung kali dianjurkan oleh sebuah universiti di negara ini tersebut akan diadakan di kampus ELMU di Bandar Enstek, Nilai di sini.
“Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu senior serta junior bawah 18 dan 12 tahun. Jumlah penyertaan dihadkan kepada 196 orang untuk setiap kategori bagi mematuhi peraturan pertandingan memanah dunia dan tarikh tutup penyertaan ialah pada 24 Disember ini. “Ahli memanah dari seluruh negara boleh mendaftar untuk menyertai kejohanan ini melalui Malaysia
Archery Results and Entry Online System (MAREOS). Selain peserta, pengurus dan jurulatih juga perlu mendaftar melalui MAREOS dan pendaftaran melalui borang fizikal tidak diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kejohanan NFAC@ELMU 2024 di Kampus ELMU di Bandar Enstek, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Naib Presiden NAAM, Ahmad Badli Shah Abdul Aziz berkata, pihaknya menyokong sebarang aktiviti yang boleh membantu mengembangkan sukan memanah di negara ini. -UTUSAN