PETALING JAYA: Seiring dengan trend terkini masyarakat Malaysia yang gemar melancong ke luar negara atau mengerjakan ibadah, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin menyarankan kepada semua pembayar cukai untuk terlebih dahulu menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara.
Menurut Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976, HASiL adalah diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan.
Sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir yang boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih lagi gagal membuat bayaran terhadap baki cukai yang tertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis telah diberikan.
Justeru, HASiL ingin menasihatkan kepada semua pembayar cukai yang ingin ke luar negara untuk menyemak status tunggakan cukai masing-masing terlebih dahulu menerusi portal MyTax yang boleh dicapai di https://mytax.hasil.gov.my/.
Selain itu, semakan sekatan perjalanan ke luar negara boleh dilakukan menerusi portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
Sebagai maklumat tambahan, mulai 4 Mac 2024 permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian menerusi pekhidmatan e-Sekatan Perjalanan yang boleh diakses menerusi portal MyTax.
Permohonan pembatalan sekatan perjalanan juga boleh dilakukan dengan prosedur dan saluran sedia ada iaitu
dengan menghubungi HASiL Contact Centre di talian 03-8911 1000 atau hadir ke pejabat HASiL berhampiran.
Maklumat lanjut berkenaan e-Sekatan Perjalanan boleh dirujuk pada soalan lazim permohonan pembatalan sekatan perjalanan menerusi capaian pantas di https://www.hasil.gov.my/individu/lain-lain/soalan-lazim-individu/. – UTUSAN