KOTA KINABALU: Pertubuhan Lima Generasi Malaysia (PLG) Sabah menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap aktivis Fahmi Reza yang dilihat cuba membawa kekecohan dan memecahkan perpaduan di Sabah.
Setiausahanya, Mohd. Syarezan Abdul Samat berkata, paparan yang dimuat naik Fahmi dalam laman sosial mengenai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 dan kehadirannya di Sabah hari ini adalah cubaan mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“Saya ingin menasihatkan Fahmi Reza agar jangan cuba mengganggu perpaduan di negeri Sabah. Negara kita ada undang-undang jadi sila hormati prinsip rukun negara.
“Kami juga meminta kerajaan negeri mengambil tindakan bagi menghalang Fahmi menimbulkan kekecohan dan cuba memecahbelahkan perpaduan di negeri ini,” katanya semasa sidang akhbar selepas membuat laporan polis terhadap Fahmi Reza di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.
Kira-kira 60 ahli PLG Sabah turut hadir bersama-sama dengan Mohd. Syarezan untuk membuat laporan polis.
Katanya, memandangkan Fahmi sudah masuk ke Sabah maka, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan terhadapnya.
Menurutnya, laporan polis itu dibuat susulan paparan gambar Tun Musa Aman yang dimuat naik dalam laman media pada 17 dan 24 Disember. Hari ini, Fahmi telah datang ke Sabah dengan membawa gambar yang sama.
Kata Mohd. Syarezan, paparan yang dimuat naik dalam laman media sosial Fahmi cukup jelas ingin menimbulkan provokasi mengenai lantikan Yang Dipertua Negeri Sabah.
Paparan mengenai Musa itu secara jelas menghina TYT. Tindakan sebegitu jelas memperlekehkan dan tidak menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong dan ini telah menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja-raja).
Menerusi paparan dalam laman media sosial, Fahmi dilihat membawa gambar Musa Aman dengan paparan ‘Aku dah sampai KK bersama Koruptor No.1 Sabah’. – UTUSAN