PASIR PUTEH: Kira-kira 1,000 penduduk Mukim Batu Hitam, di sini mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM7.5 juta akibat kehilangan ternakan dan kerosakan harta benda selepas dilanda banjir sejak Rabu lalu.
Mereka mendakwa pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadi punca banjir mengejut dengan kenaikan air tinggi dan arus deras berbanding kejadian bencana itu sebelum ini.
Seorang penduduk, Ab. Rahman Yaakub, 73, berkata, banjir kali ini lebih teruk berbanding banjir besar pada 2014 dan 2022 kerana air yang menenggelamkan kampung mereka gagal dialir keluar kerana terhalang dengan benteng rel yang dibina ECRL.
Menurutnya, penduduk mendesak ECRL mengubah semula tanah yang ditambak sepanjang lebih dua kilometer yang menyebabkan air hujan mudah terkepung dan tidak mengalir ke kawasan yang sepatutnya.
“Kenyataan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL yang menegaskan tidak semua kawasan dilanda banjir di sepanjang jajaran ECRL disebabkan pembangunan projek ini adalah tidak tepat. Tinjauan dan kajian semula perlu dilakukan di tapak projek.
“Kampung Batu Hitam, Kampung Pangkalan Buaya, Kampung Pangkalan Pauh, Kampung Gong Garu dan Kampung Kemal terkena tempias dan menanggung kerugian. Kami tidak menuntut ganti rugi tetapi mendesak reka bentuk yang ditambak ditukar dengan tiang bagi membolehkan air dialir keluar,” katanya.
Terdahulu, seramai 300 penduduk di kawasan pembinaan rel ECRL Kampung Batu Hitam, di sini engadakan piket aman bagi membantah keadaan itu.
Sebanyak tiga jentolak milik penduduk bersama kain rentang diletakkan di tengah rel berkenaan sejak pukul 12 tengah hari sebagai tanda protes penduduk sebelum mereka berkumpul secara aman pada pukul 4.30 petang.
Penghulu Mukim Batu Hitam, Sukria Abdullah berkata, keseluruhan ternakan penduduk termasuk lembu dan kerbau gagal diselamatkan apabila air banjir naik secara mendedak.
“Sebelum ada rel memang ada banjir namun keadaannya tidak sedalam banjir kali ini mencecah 8 hingga 10 meter dalam tempoh yang singkat menyebabkan penduduk panik, hanya mampu menyelamatkan diri tanpa menyelamatkan ternakan dan harta benda,” katanya.- UTUSAN