LANGKAWI: Platform kaca yang menjadi tarikan baharu di Gunung Machinchang, di sini tersenarai sebagai platform kaca terpanjang dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengarah Langkawi Skywalk Sdn. Bhd., Ir. Abd. Manaf Majid berkata, Eagle’s Nest Skywalk diinspirasikan daripada burung helang dan sarangnya yang menjadi ikon utama di pulau ini.
“Platform seluas 205 meter persegi ini membolehkan pengunjung untuk melihat pemandangan Gunung Machinchang secara terus daripada ketinggian 650 meter dari aras laut.
“Platform ini mengunjur dari lereng Gunung Machinchang sejauh 38 meter dan menawarkan pemandangan alam yang membuatkan pengunjung berasa seperti mereka berjalan di udara,” katanya selepas menerima sijil pengiktirafan itu di Oriental Village di sini, hari ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad.
Abd. Manaf berkata, pembinaan platform tersebut bermula pada 2020 sebelum siap sepenuhnya pada Februari 2023.
Menurutnya, aspek keselamatan menjadi keutamaan kepada pengunjung dan larangan seperti melompat atau berlari di atas platform akan diberikan kepada mereka selain perlu memakai sarung kasut.
Tambahnya, had maksimum pengunjung juga diletakkan sebanyak 100 orang pada satu-satu masa bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung.
Abd. Manaf berkata, platform yang mempunyai panjang keseluruhan 65 meter dengan kelebaran sebanyak 2.8 meter itu boleh diakses dengan menaiki kereta kabel Langkawi. – UTUSAN