PELAKON ini sebelum ini puas dihentam netizen gara-gara gaya berpakaiannya yang mencolok mata.
Malah, masyarakat mencemuh Cha Cha Maembong kerana dia pernah membuat pengakuan suka berpakaian seksi sejak dulu.
Tapi, ada benarnya kata orang. Usia mematangkan manusia.
Dulu, mungkin tak henti-henti cemuhan yang adik pelakon Emma Maembong ini terima kerana penampilannya.
Sekarang, pelakon berusia 28 tahun ini menerima pelbagai pujian kerana semakin menjaga had dalam berpakaian.
“Dulu, saya belasan tahun, zaman remaja, memang cara berpakaian saya seksi. Mungkin, tutup mana yang penting sahaja.
“Sekarang, usia sudah meningkat. Hidup semakin ada arah tuju. Perlakuan bertambah matang, begitu juga cara berpakaian,” katanya yang ditemui pada Majlis Perasmian Trailer, Poster dan OST Filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975.
Dalam filem itu, Cha Cha bergandingan dengan barisan pelakon hebat antaranya Kodi Rasheed, Amerul Affendi, Nor Albaniah, Cat Farish dan ramai lagi.
Empunya nama sebenar Siti Aisyah Rohani Ismail ini meluahkan rasa syukur kerana usia mematangkan dan mengajar banyak perkara.
“Kehidupan mengajar banyak hal. Alhamdulillah sekarang saya lebih matang.
“Bila meningkat dewasa, saya sudah boleh menilai yang baik dan buruk,” jelasnya.
BERKAWAN BERPADA
Seperkara mengenai gadis berdarah kacukan Melayu dan Scotland ini adalah dia jarang berkawan rapat dengan mana-mana artis.
Kata Cha Cha, malah, sejak remaja, dia juga tidak mempunyai ramai kawan dan banyak menghabiskan masa bersama keluarga.
“Kalau berkawan pun atas dasar kerja sahaja. Habis waktu kerja, saya tidak berhubung atau keluar bersama-sama rakan artis yang lain.
“Saya tidak memiliki ramai kawan, lebih rapat dengan keluarga. Bila bercuti, saya habiskan masa di rumah dengan keluarga atau pergi ke rumah Emma. Hidup saya memang membosankan.
“Mungkin ini sebabnya Allah kurniakan saya keluarga besar. Alhamdulillah, saya lebih tenang begini.
“Ada juga logiknya, sebab dalam banyak hal, keluarga yang akan selalu ada untuk kita,” kongsinya.