PETALING JAYA: Pelakon, Hun Haqeem, mahu keluar daripada zon selesa dengan mencabar diri bergelar penyanyi.
Hun atau Haqeem Bin Hermy, 26, diberi kepercayaan menyanyikan runut bunyi filem Game Of Life bertajuk ‘Untuk Semua Jiwa’ bersama Noki.
“Masa mereka tawarkan untuk berlakon, mereka turut mencadangkan saya menyanyikan runut bunyi filem ini.
“Sebenarnya saya tidak mahu buat pun. Tapi ada Noki, itu yang membuatkan saya mahu lakukanny. Apalagi yang lebih indah selain bernyanyi dengan kawan sendiri?
“Kebetulan kami sama-sama pernah terlibat dengan program The Masked Singer sebelum ini. Percaturan Tuhan yang membuatkan saya buat keputusan ambil peluang itu.
“Saya anggap semua ini sebagai pemanas badan untuk saya memulakan kerjaya sebagai penyanyi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Malah, Aktor TV Popular, Anugerah Bintang Popular ke-36 itu juga berkongsi sudah lama menyukai bidang nyanyian bahkan pernah melakukan aktiviti ‘busking’ suatu ketika dahulu bersama kakaknya yang juga merupakan pemain gitar kumpulan Xpose Band, Nureen Qistina.
“Saya memang suka bernyanyi sejak dahulu cuma rezeki menjadi pelakon datang lebih dahulu. Saya pernah ‘busking’ dengan kakak dahulu di sekitar Nilai 3, Negeri Sembilan.
“Zaman sekolah dulu pun selalu terlibat acara nyanyian seperti nyanyi lagu Siti Nurhaliza. Saya suka muzik dan adik-beradik saya pun pemuzik,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia sudah pun menghadiri kelas vokal beberapa kali selain mendapatkan nasihat daripada rakan industri seperti komposer Audi Mok, Naim Daniel dan penyanyi, Ismail Izzani.
“Saya tidak mahu cepat sangat masuk dunia nyanyian sampai terus buat persembahan. Saya nak buat betul-betul dan ambil kelas.
“Kawan pemuzik juga ramai ajak lepak dan ia sangat membantu. Secara tidak langsung, saya belajar juga mengenai nyanyian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hun Haqeem bakal membintangi filem Game Of Life yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 23 Januari 2025.-UTUSAN