PETALING JAYA: Pelakon, Hariz Hamdan, berharap penonton tidak memberi tafsiran yang salah terhadap adegan duduk atas riba Nelissa Nizam dalam filem Sahak Gangster.
Jelas Hariz atau Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 22, adegan lucu tersebut dilakukan secara profesional selari kepada tuntutan naskah.
“Ya memang ada babak itu. Bagi saya itu salah satu babak lucu yang ada dalam filem ini dan bukanlah adegan panas menarik perhatian penonton.
“Saya melakonkan adegan itu mengikut jalan cerita dan arahan pengarah. Sewaktu menjayakan babak itu memang saya duduk di atas riba dia (Nelissa) dalam kereta itu.
“Tetapi semuanya dibuat secara profesional dan lakonan semata-mata. Bagi saya itu tidak keterlaluan (daring) melainkan satu adegan lucu sahaja,” katanya.
Hariz mengulas mengenai adegan kejar mengejar apabila Sahak dan Suriani (Nelissa) memandu kenderaan melarikan diri daripada sekumpulan penjenayah.
Tambah pelakon itu lagi, babak seperti itu bukanlah sesuatu yang baru malah pernah dilakonkan beberapa filem terkenal luar negara seperti filem Korea Selatan, My Wife Is A Gangster 3 dan naskhah aksi komedi India, Singh Is Bliing.
Malah menurut Hariz, sebagai pelakon, dia hanya menjalankan tugas yang diminta pengarah, Dr. Ahmad Idham.
“Ya babak seperti itu ada dalam beberapa buah filem lain di luar negara. Tetapi bagi saya lebih baik saya atas riba dia daripada dia yang atas riba saya.
“Pada saya itu adalah salah satu daripada kreativiti pengarah iaitu Ahmad Idham kerana beliau mempunyai banyak pengalaman mengarahkan cerita komedi dan aksi.
“Beliau juga mempunyai banyak idea untuk membuatkan filem ini menarik,” katanya ketika ditemui di sesi fotografi filem Sahak Gangster di Galeri Sophia, baru-baru ini.
Pertama kali menyandang watak utama untuk filem, Hariz berharap lakonanya dalam naskhah ini berjaya mencuri perhatian penonton.
Filem Sahak Gangster terbitan Millennium Megamas akan mula menemui penonton bermula 9 Januari 2025.
Turut sama menjayakan filem ini ialah Yana Samsuddin, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Razak Ahmad, Chiwan Raja Lawak, Azlan Komeng, Acong Sweetchild dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar. -UTUSAN