Duda lakukan kesalahan khalwat berulang disebat 27 Disember ini

Duda lakukan kesalahan khalwat berulang disebat 27 Disember ini

HUKUMAN sebat terhadap Mohd. Affendi Awang yang melakukan kesalahan khalwat berulang dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu pada 27 Disember ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hukuman sebat ke atas seorang duda berusia 42 tahun yang melakukan kesalahan khalwat berulang dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini pada 27 Disember ini.

Mohd. Affendi Awang yang merupakan  individu pertama dikenakan hukuman tersebut di negeri ini sebelum ini telah ditetapkan hukuman pada 6 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu di sini menetapkan tarikh baharu tersebut susulan permohonan semakan yang  difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Disember lalu.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu memutuskan permohonan semakan itu selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

Menurutnya, keputusan ini dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada tarikh tersebut.

“Hasil persidangan itu, mahkamah  memutuskan hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024, adalah dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Khalil memberitahu, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman sebat itu akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.

“Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.

“Pelaksanaan hukuman sebatan Takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.

“Kerajaan Negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah (takzir) ini berjalan dengan lancar,” tambahnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia pada 20 November lalu melaporkan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid kerana kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail  selepas Mohd. Affendi  mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat yang berkuat kuasa  1 Januari  lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya